Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pemandu van maut, tiga kakitangan KKM cedera ketika ambil bekalan vaksin

JOHOR BAHRU, 18 Ogos — Seorang pemandu van kesihatan maut manakala tiga lagi kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) cedera selepas van yang dinaiki terlibat dengan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) di sini tengah hari tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan insiden itu dan memaklumkan van terbabit dalam perjalanan mengambil bekalan vaksin di Hospital Permai untuk dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang. 

Ketika kejadian, bekalan vaksin belum ada di dalam van kesihatan itu.

Beliau berkata mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid pula berkata dalam kejadian pada kira-kira 12.15 tengah hari itu, selain pemandu yang disahkan meninggal dunia, tiga lagi yang terlibat ialah pegawai farmasi dan dua jururawat yang menaiki van kesihatan dari PKD Kluang menghala ke Hospital Permai. 

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu van, ketika tiba di lokasi kejadian iaitu di lorong kanan, telah mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut sebelum merempuh belakang sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 30 tahun.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang di bahagian hadapan van kesihatan tersepit manakala dua penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan ketiga-tiga penumpang dibawa ke HSA untuk rawatan lanjut. 

Pemandu van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSA untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Rupiah menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Najwa Abd Latif di talian 013-4144 997 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563 122.

Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Jamal, dalam kenyataan berasingan, memaklumkan bahawa empat kakitangan KKM itu dikenali sebagai Shamsul (pemandu), 49, penumpang hadapan Amelia Pek Ying Hung, 26, serta penumpang belakang iaitu Rosnilam Satari, 48, dan Azlina Mohd Rawi, 41.

Beliau berkata operasi yang selesai pada 1.24 petang itu menggunakan peralatan khas ‘ResQ Tools’ untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengambil masa 11 minit.

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan