Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan sempena cabutan bertuah Parish Sale St Stephen Bau 2024. Foto: Majlis Paroki St Stephen Bau

Majlis Paroki St. Stephen Bau anjur jualan amal, tawar cabutan bertuah ke Ho Chi Minh

ByOdleen Catherny

KUCHING, 18 Okt: Tiket penerbangan ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam dan sebuah Perodua Bezza antara hadiah yang menanti orang ramai dalam aktiviti cabutan bertuah pada jualan amal ‘Parish Sale 2024’ mega anjuran Majlis Paroki St. Stephen Bau pada 27 Oktober ini.

Menurut kenyataan ahli jawatankuasa jualannya, individu yang bertuah akan membawa balik dua tiket penerbangan menyertai aktiviti ziarah keagamaan ke bandar paling popular di Vietnam itu.

“Cabutan bertuah ketika Parish Sale St. Stephen Bau, 2024 menawarkan tiga hadiah kemenangan utama. Pemenang pertama akan membawa balik Perodua Bezza.

Pemenang kedua pula akan berpeluang memiliki dua tiket penerbangan ke bandar Ho Chi Minh yang mana mereka akan menyertai aktiviti ziarah keagamaan ke tempat-tempat ibadah Katolik di sana.

Manakala, pemenang tempat ketiga cabutan tiket bertuah pula akan menerima sebuah motosikal.

Selain itu, setiap individu yang menyertai cabutan bertuah juga berpeluang memenangi barangan elektronik bernilai RM500 ke atas,” katanya kepada TVS, hari ini.

Untuk makluman, Majlis Paroki St. Stephen Bau dianggotai 50 buah gereja di daerah Bau dengan St. Stephen sebagai gereja induk daerah berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran pada tahun ini diadakan secara besar-besaran di pekarangan parkir gereja katolik itu yang menyasarkan sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung hadir.

“Masyarakat sekitar Sarawak, terutamanya Bau dan Kuching dialu-alukan untuk datang. Ia terbuka kepada setiap lapisan masyarakat dan bukan hanya tertutup kepada umat Kristian sahaja,” ujarnya lagi.

Kenyataan menambah, dana yang diperoleh menerusi jualan itu juga disasar digunakan untuk membina Pusat Pastoral pertama daerah Bau.

“Bangunan ini akan membolehkan umat atau komuniti paroki gereja St. Stephen menganjurkan program-program keagamaan dengan lebih selesa,” jelasnya.

Dana jualan juga bertujuan untuk menambah tabungan kebajikan yang akan disalurkan menerusi organisasi Dana Fr. Luis dan Kementerian Belia Paroki atau Parish Youth Ministry (PYM) St. Stephen Bau.

Parish Sale St. Stephen Bau, 2024 nanti bakal mengetengahkan jualan produk-produk tempatan yang segar dan berkualiti tinggi.

Aktiviti menarik lain termasuk pembuatan masakan ‘pansuh’ dalam buluh secara terbuka dan boleh dibeli setelah siap, menyumpit dan sebagainya.

Parish Sale St. Stephen Bau, 2024 diadakan pada 27 Oktober 2024 pada Ahad bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Setiap pembelian hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kupon pembelian yang dijual di kaunter yang ada disediakan pada hari jualan amal itu.

Pembelian kupon telah dibuka dan boleh didapati menerusi ahli majlis, pejabat paroki St. Stephen Bau dan mana-mana gereja di bawah paroki St. Stephen Bau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan