KUCHING, 17 Okt: Syarikat produksi tempatan, MyContent Distribution Sdn Bhd merangkul Anugerah Ekonomi Digital Premier Sarawak 2024 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.
Anugerah itu disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Gala IDECS ke-7 di sini, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan syarikat berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.
Mengakui perusahaan mereka sebagai lebih daripada syarikat produksi biasa, MyContent Distribution bergiat aktif dalam industri perfileman di Sarawak dalam memasar dan mengedarkan kandungan filem mereka ke platform penstriman antarabangsa seperti Netflix, Amazon Prime Video dan Viu.
Seterusnya, majlis turut meraikan syarikat berkenaan memenangi Anugerah Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (MSME) sebentar tadi.
Terdahulu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata Anugerah Ekonomi Digital itu bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang bagi pemain yang menyumbang kepada usaha ekonomi digital Sarawak.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan malah turut mencerminkan kepimpinan dan visi Premier Sarawak dalam mengemudi Sarawak ke arah masa depan dan inovasi digital.
“Ia juga melambangkan usaha beliau untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam transformasi digital dan memastikan kemajuan serta pembangunan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan apresiasi beliau.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan bekas Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Tan Sri George Chan.
Bertemakan ‘Kecerdasan Buatan untuk Pembangunan Lestari: Mengemudi Masa Depan Mampan dan Hijau’, persidangan dua hari yang bermula semalam menyaksikan penyertaan pakar tempatan dan antarabangsa, pembuat dasar serta ahli akademik yang ingin meneliti keupayaan AI dalam memacu kelestarian dan memperkukuh pembangunan ekonomi.
Disokong oleh Kerajaan Sarawak, IDECS 2024 merupakan acara anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan SAINS. -TVS