MIRI, 17 Okt: Dewan Bandaraya Miri bersama Kelab Berbasikal Masterpiece akan menganjurkan Perlumbaan Basikal Kuala Baram 3.0 (KBCR 3.0) pada November depan, dengan objektif memperkenalkan Miri destinasi baharu dalam dunia perlumbaan basikal.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata KBCR 3.0 akan diadakan pada 8 hingga 10 November 2024 melibatkan laluan sejauh 22 kilometer, bermula dan berakhir di Jalan Maigold (Lampu Isyarat Senadin).
“Perlumbaan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia, sekaligus memberikan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat dan lestari melalui aktiviti berbasikal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebastian menambah KBCR 3.0 menyasarkan sekitar 400 peserta untuk setiap kategori, dengan keseluruhan lebih 800 peserta dijangka menyertai acara yang akan berlangsung selama dua hari ini.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan, termasuk Lelaki Terbuka (18-29 tahun), Lelaki Master A (30-39 tahun), Lelaki Master B (40-49 tahun), Lelaki Veteran (50 tahun ke atas), Lelaki Remaja (15-17 tahun), Wanita Terbuka, dan Super XL (untuk peserta dengan BMI 33 ke atas). Kategori istimewa Raja Pecut turut dipertandingkan dalam kategori Lelaki Terbuka dan Lelaki Master A.
“Para peserta akan merasai pengalaman baharu tahun ini kerana KBCR 3.0 akan melalui laluan perlumbaan baharu untuk TTT dan acara utama, Perlumbaan Jalan Raya, yang akan diadakan di dua lokasi yang melalui jalan pantai terbuka yang indah di Kuala Baram, Miri, dan Bakam menuju ke Bekenu,” tambahnya.
Laluan KBCR3.0 Team Time Trial (TTT) akan bermula dan berakhir di Jalan Maigold (Lampu Isyarat Senadin), meliputi jarak 22 kilometer. Perlumbaan ini akan diadakan sepanjang Jalan Lutong – Kuala Baram, dengan U-turn di simpang Ladang Buaya sebelum menuju semula ke garisan penamat di Jalan Maigold.
Sementara itu, laluan KBCR3.0 Road Race akan melibatkan Dewan Bandaraya Miri, Marina Bay sebagai titik mula dan penamat. Perlumbaan ini akan melalui Jalan Marina, Jalan Tanjong, jalan pesisir Miri-Bintulu, simpang masuk Bekenu menuju Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lapangan Terbang Miri, dan berakhir di Dewan Bandaraya Miri. Perlumbaan jalan raya ini meliputi jarak kira-kira 111 kilometer.
“Pemenang juga akan berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM42,100, dengan jumlah hadiah tahun ini mencecah RM38,250. Selain itu, trofi turut menanti mereka yang berjaya,” ujarnya. -TVS