KUALA LUMPUR, 17 Okt: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam terus komited dalam mencapai matlamat Kerangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (MPSR), walaupun pelaksanaannya tergendala sedikit akibat pandemik COVID-19.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pandemik telah menyebabkan peningkatan penggunaan plastik sekali guna terutamanya melalui pembelian makanan dan belian atas talian yang menggunakan bungkusan plastik berlebihan.
“Namun, penghapusan plastik sekali guna menghadapi cabaran kerana kekangan bidang kuasa antara kerajaan persekutuan, negeri, dan tempatan.
“Hanya beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Johor telah mengenakan caj penggunaan beg plastik sekali guna, sementara banyak negeri lain belum melaksanakan dasar bebas plastik sepenuhnya,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini,hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Kluan Wong Shu Qi mengenai sama ada Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 telah mencapai sasaran atau tidak.
Tambahnya, MPSR juga berhasrat untuk menerapkan konsep ekonomi kitaran bagi memastikan plastik yang dihasilkan boleh dikitar semula seterusnya mengurangkan sisa plastik di tapak pelupusan sampah.
“Kerajaan kini sedang mengenal pasti senarai plastik sekali guna yang bermasalah dan boleh dielakkan untuk dihapuskan secara bersasar. Kementerian juga bekerjasama dengan SIRIM bagi inisiatif reka bentuk lestari (eco-design) untuk pembuatan plastik,” katanya.
Beliau berkata, kementerian yakin dengan kerjasama berterusan daripada semua pihak termasuk NGO dan industri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelestarian plastik dapat menambah baik pengurusan plastik secara lestari demi kesejahteraan alam sekitar. – TVS