Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Abdul Rahman menyampaikan sijil halal kepada pemilik francais makan I Love Yoo, Lionel Tang. Foto TVS

896 premis di Sarawak miliki sijil halal

KUCHING, 16 Okt: Sebanyak 896 premis merangkumi kedai makan, produk makanan dan minuman, logiostik, rumah sembelihan dan barang kegunaan di Sarawak mempunyai sijil halal setakat ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, kesemua pemegang sijil halal tersebut yang meliputi semua premis memohon dan bertapak di Sarawak.

“Sijil itu diberikan mengikut skim permohonan seperti premis makanan, produk makanan dan minuman, bahagian logistik, rumah sembelihan, skim pengilangan kontrak (OEM) serta barang kegunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sijil halal
restoran ‘I Love Yoo’ by Q&Y Foodland Sdn Bhd di Jalan Tabuan di sini, hari ini.

Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, setakat ini tiada sebarang ketetapan mewajibkan pensijilan halal kepada pengusaha makanan di Sarawak.

“Namun begitu, antara usaha kita lakukan melalui bahagian pengurusan halal Jabatan Islam Sarawak (JAIS) ialah memberi galakan selain mengadakan promosi supaya pemilik premis memohon untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Alhamdulillah, sambutan amat baik sehingga kebanyakan mereka menghantar permohonan kepada bahagian pengurusan halal di JAIS, dan kebanyakan permohonan sedang dalam proses dan telah dikeluarkan,” ujarnya.

Menurutnya, tempoh masa permohonan sijil halal mengambil masa selama 30 hari.

Bagaimanapun katanya, sekiranya pemohon dapat menyediakan semua keperluan dengan lengkap, ia boleh mempercepatkan tempoh permohonan.

“Setiap sijil halal tempoh sahnya hanya dua tahun, dan saya menyarankan kepada pemilik premis makanan yang telah mendapat sijil halal supaya memperbaharui sijil mereka dalam tempoh enam bulan sebelum tamat.

“Pengusaha premis makanan yang lain dan ingin memohon juga boleh melakukannya dengan berhubung terus dengan Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan perlu mendaftarkan akaun dalam sistem MYeHALAL.

“Mereka perlu membuat permohonan melalui sistem itu dan diminta untuk membuat semakan permohonan, membuat pengauditan kecukupan yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Halal, dan membuat bayaran bagi persijilan tersebut.

“Seterusnya, apabila telah mendapat kelulusan, sijil halal akan diberikan kepada mereka dalam tempoh 30 hari,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ramzen Ambi berkata, sijil halal yang ditarik balik di Sarawak amat jarang berlaku.

Tambahnya, ia berlaku disebabkan ketidakpatuhan terhadap keperluan dan piawaian pensijilan halal.

“Di Sarawak, amat jarang perkara sebegini berlaku. Kita hanya akan menarik balik sijil halal bila berlaku kesalahan yang kritikal atas keputusan bersama daripada Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak,” kata Ramzen.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan