KUCHING, 16 Okt: AIZO Group Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Minetech Resources Berhad mengumumkan rancangannya untuk membangunkan secara bersama Pusat Data Tahap Empat di Sarawak dengan Netrunner Sendirian Berhad.
Kedua-dua pihak telah menandatangani MoU dengan Syarikat SESCO Berhad bagi kerjasama ini yang disifatkan sebagai usaha untuk menyelaraskan infrastruktur digital Sarawak dengan visi pembangunan teknologi wilayah ini.
Pengerusi Eksekutif AIZO, Dato Abang Abdillah Izzarim dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat berkenaan teruja untuk bersama-sama menyumbang kepada kemajuan Sarawak ke arah era digital.
“Menerusi kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Netrunner, kami percaya bahawa Pusat Data Tahap 4 ini akan menjadi asas utama bagi infrastruktur digital di rantau ini.
“AIZO Group berbangga untuk memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital Sarawak bagi memastikan projek ini memberikan impak positif dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Tambahnya, kerjasama ini sejajar dengan visi strategik AIZO untuk memanfaatkan teknologi canggih dan penyelesaian mampan bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham syarikat ini.
“Kami kekal komited terhadap matlamat untuk memacu inovasi dan menyokong aspirasi digital Sarawak.” ujarnya.
Ujarnya, MoU ini akan menggabungkan kekuatan setiap pihak bagi memastikan kejayaan pembangunan pusat data tersebut.
Majlis menandatangani MoU itu yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menandakan langkah utama AIZO untuk mempelbagaikan infrastruktur digital sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat penyelesaian pengurusan data yang selamat dan cekap.
Netrunner merupakan sebuah ‘Special Purpose Vehicle’ yang memberi fokus untuk menarik pelaburan bagi taman pusat data canggih di Sarawak.
Syarikat ini mengetuai pembangunan teknikal dan reka bentuk Pusat Data Tahap Empat bagi memastikan ia memenuhi piawaian global dari segi keselamatan, kecekapan tenaga, dan kebolehpercayaan.
Manakala AIZO akan memainkan peranan utama dengan menyediakan sokongan infrastruktur termasuk membangunkan penyelesaian tenaga bersih dan kemudahan rawatan air bagi memastikan kemampanan operasi pusat data. – TVS