KUCHING, 15 Okt: Kecerdasan Buatan (AI) memainkan peranan penting sebagai pemacu strategik pembangunan mampan serta menonjolkan inisiatif Sarawak mengintegrasikan penyelesaian canggih merentasi industri untuk pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan pembangunan bandar yang pesat sistem yang dikuasakan oleh AI mampu menyusun, memproses dan mengitar semula sisa buangan secara efektif yang mampu mengurangkan kesan kepada alam sekitar sekaligus memenuhi keperluan ekonomi.
“Di Miri, sistem pengurusan trak sampah pintar digunakan untuk mengoptimumkan pengumpulan sampah dengan menjejaki jadual dan laluan di samping mengurangkan penggunaan bahan bakar dan kos operasi bagi mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar.
“Dengan memastikan pembuangan sampah dilakukan tepat pada masanya, Miri berupaya meminimumkan beban tapak pelupusan sampah dan memupuk persekitaran bandar yang lebih bersih, katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada acara pembukaan Persidangan Antarabangsa Digital Ekonomi Sarawak (IDECS) ke-7 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Abang Johari memaklumkan Sarawak mengalu-alukan kerjasama dengan negara-negara peneraju dalam bidang ini seperti Korea Selatan dan Jepun untuk membangunkan ekonomi kitaran di Sarawak secara bersama.
“Sarawak juga sedang meneroka cara untuk menukar sisa organik daripada pengeluaran pertanian menjadi tenaga. Dengan memanfaatkan pencernaan anaerobik dan penukaran biojisim, wilayah ini berhasrat untuk mengurangkan sisa tapak pelupusan sambil menghasilkan tenaga boleh diperbaharui untuk komuniti tempatan.
“SDEC turut menyokong inisiatif penyelidikan dan pembangunan teknologi di universiti yang menumpukan kepada integrasi AI dalam pengurusan sisa dan proses penukaran. Analitik canggih akan membantu memantau kualiti bahan mentah dan mengoptimumkan proses penapaian, meningkatkan produktiviti keseluruhan.
Ujarnya, hasil projek penyelidikan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan memastikan langkah-langkah yang mampan serta kos-efektif.
Dalam pada itu, katanya, Sarawak sedang meneroka pelbagai aplikasi AI dalam bidang pertanian menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi untuk melaksanakan penyelesaian pertanian pintar.
Jelasnya, inovasi ini memperkasakan petani untuk memanfaatkan alat berasaskan AI bagi analisis tanah, pengurusan perosak, dan pemantauan iklim.
Untuk pembangunan bandar, Abang Johari memaklumkan, inisiatif bandar pintar di Kuching dan Miri membuktikan bagaimana teknologi boleh mengubah persekitaran bandar daripada sistem trafik pintar dan lampu jalan pintar hingga keselamatan awam berasaskan AI dan pengurusan sisa pintar.
“Projek-projek ini meningkatkan perkhidmatan awam, memperbaiki infrastruktur, dan menyumbang kepada keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.-TVS