BINTULU, 16 Okt: Seramai 25 penghuni hilang tempat tinggal selepas tujuh rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Komander Operasi, Shukri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.22 pagi sejurus itu menggerakkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dibantu BBP Kidurong ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah pekerja jenis tidak kekal telah terbakar keseluruhan.
“Bagaimanapun, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran 1400 kaki dua nozel relay pumping dan sumber air dari jentera bagi mengawal serta memadam kebakaran.
“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS