TAWAU, 15 Okt: Pemandu bas sekolah yang terlibat dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Tawau-Kalabakan, semalam, tidak memiliki lesen selain memandu di bawah pengaruh dadah.
Dalam kejadian jam 1.45 petang semalam, kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal, Shah Bakht Amin, 19, maut selepas terperosok di bawah bas sekolah terlibat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan, bas sekolah berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.
Katanya, bas sekolah itu bergerak dari arah Kampung Kapilit menuju ke Kalabakan sebelum bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Dalam insiden itu, penunggang motosikal terperosok di bawah bas dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu bas terlibat berada di bawah pengaruh dadah selain tidak memiliki lesen memandu.
Katanya, suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Jasmin meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan. -TVS