SIBU, 14 Okt: Keselamatan awam adalah aspek penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Justeru katanya, dalam memastikan keselamatan awam terpelihara, ia memerlukan kerjasama erat yang menjadi tanggungjawab bersama antara masyarakat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Jika kita mengambil mudah keselamatan awam, keyakinan para pelabur dan masyarakat umum akan runtuh.
“Ini akan menyukarkan hasrat Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mencapai matlamatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program ‘Town Hall Discussion 2024′: Bicara Jenayah: Kesiapsiagaan Mendepani Isu Jenayah’ di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Isnin.
Tambahnya, untuk mencapai kadar jenayah kepada sifar adalah perkara yang sukar namun apa yang boleh dilakukan ialah menurunkan kadar jenayah serendah mungkin melalui penganjuran program kesedaran.
“Justeru program sebegini sangat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah serta memperkukuhkan kepercayaan antara polis dan orang awam.
“Tahniah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak atas inisiatif menganjurkan program kesedaran seumpama ini,” tambahnya.
Tiang turut menggariskan kepentingan strategi pencegahan jenayah berasaskan komuniti sebagai salah satu cara terbaik untuk menurunkan kadar jenayah.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah siber yang menjadi semakin serius dalam arus permodenan yang semakin pesat kini.
Menurut beliau, walaupun pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat namun maklumat tersebut tidak sampai ke peringkat akar umbi kerana tiadanya kesedaran individu.
“Kami berusaha tapi maklumat itu tidak sampai dan kejadian masih berulang. Betapa sedihnya kalau scammer ataupun jenayah siber ini terus berleluasa tanpa henti.
“Polis menerima laporan setiap hari. Walaupun jumlah kes tak banyak tetapi jumlah kerugian meningkat kerana seorang mangsa membabitkan kerugian berjuta-juta ringgit disebabkan tiada kesedaran daripada diri sendiri,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa pemimpin masyarakat dan ketua keluarga memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai pencegahan jenayah siber bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan.
Program tersebut dihadiri pelbagai wakil agensi kerajaan dan ketua masyarakat yang bertujuan membincangkan langkah-langkah pencegahan jenayah serta memperkukuhkan hubungan antara masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili. – TVS