KUCHING, 14 Okt: Selepas empat hari penuh dengan perlawanan sengit dan mendebarkan, Kejohanan Antarabangsa Pickleball Borneo 2024 (BPIT) menutup tirainya hari ini di Pikabol (Pusat Pickleball Malaysia).
Pengerusi BPIT 2024, Ruslan Bujang dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan edisi kali ini membuktikan BPIT kekal sebagai platform untuk pemain mempamerkan kehebatan di samping merasai pengalaman sukan yang terbaik.
Menurutnya, acara yang berlangsung bermula dari 10 hingga 13 Oktober itu menawarkan pelbagai kategori perlawanan, termasuk Acara Berpasukan, Beregu Campuran Veteran, dan Beregu Novis serta berjaya mengumpulkan lebih daripada 500 atlet dari rantau ini.
“Paragon SG muncul sebagai juara untuk acara berpasukan manakala Paragon Perfecto meraih tempat naib juara selepas perlawanan akhir yang sengit.
“ESM Voltage Vipers Pickleball menduduki tempat ketiga, manakala Dayak Daily Berami berada di kedudukan keempat.
“Bagi kategori Beregu Campuran Veteran pula menyaksikan Hari Mohan dan Varsha Majmudar meraih gelaran Juara, diikuti oleh Moon Tan dan Chong Siew Tan sebagai Naib Juara,” katanya.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jeffery Kuok dan Monaliza Ibrahim, manakala Lydia Wong dan Andrew Soo menduduki tempat keempat.
Dalam kategori Beregu Novis, Izzudin Mohd Razali dan Afiq Aziz menunjukkan prestasi cemerlang dengan memenangi tempat pertama, diikuti oleh Shaifful bin Sapian dan Khairil Azrie bin Jamat di tempat kedua.
Sean Aziz Abdullah dan Faustino Rinaldon Mundaw serta Nik Nasron Halik dan Muqri Othman, masing-masing melengkapkan kedudukan di tempat ketiga dan keempat.
Menurutnya, BPIT 2024 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,650 bersama trofi, pingat dan hadiah eksklusif yang ditaja Skechers dan Starbucks.

Penyampaikan pingat kepada pemenang disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan.
Snowdan turut memuji pemain atas prestasi cemerlang mereka serta menekankan semangat kerjasama dan ketekunan yang dipamerkan sepanjang kejohanan ini.
Sementara itu Ruslan berkata, BPIT 2024 berjaya direalisasikan hasil sokongan padu daripada para penaja termasuk Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia, Sarawak Energy Berhad, WTK, Starbucks, PIKABOL, DHI, Odysportsz, dan Pickleball Global.
“Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pickleball Malaysia dan Persatuan Pickleball Sarawak. Di samping itu, BPIT juga disokong kuat oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
“Terima kasih juga kepada BPIT2024’s Exclusive Strategic Advisor Business Events Sarawak dan rakan kongsinyaMalaysia Airlines, CPH Travels, Lembaga Pelancongan Sarawak dan The Hemisphere atas sumbangan luar biasa mereka dalam menyediakan perkhidmatan kepada peserta dan memacu pertumbuhan pelancongan sukan di Sarawak,” tambahnya.
Menurutnya, BPIT kekal sebagai platform penting bagi pemain untuk mempamerkan kehebatan.-TVS