KUCHING, 14 Okt: Sastera dan bahasa dilihat sebagai wadah terbaik menyatupadukan masyarakat menerusi karya yang dihasilkan.
Karya yang dihasilkan biasanya merupakan cerminan kehidupan sebenar masyarakat.
Sehubungan itu, hasil nukilan sasterawan atau karyawan berbakat perlu diangkat dan diiktiraf menerusi Anugerah Sastera Sarawak ke-11 yang berlangsung 30 Oktober akan datang.
Pengerusi Panel Penilai Anugerah Sastera Sarawak ke-11, Datu Dr Adi Baiozaman Tuah berkata, anugerah tersebut bukan sahaja memberi penghormatan kepada sasterawan dan karyawan veteran tetapi menjadi wadah mengembangkan potensi penulis baharu di wilayah ini.
“Kategori yang baru diperkenalkan iaitu Anugerah Penulis Harapan Sarawak akan memberi ruang kepada penulis muda untuk memahami bahawa karya mereka turut diiktiraf kerajaan.
“Kerajaan Sarawak menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sentiasa proaktif dalam mengadakan pelbagai kursus dan bimbingan selain bengkel untuk menggilap karyawan muda yang mempunyai potensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Anugerah Sastera Sarawak ke-11 di Pejabat DBP Cawangan Sarawak hari ini.
Menurutnya, penulis muda juga digalakkan bergiat aktif menulis pelbagai genre bagi memastikan kelestarian bidang sastera dan bahasa di wilayah ini.
“Penulis muda yang menulis majalah sekolah dan menghantar karya kepada akhbar perlu sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.
Untuk Anugerah Sastera Sarawak edisi ke-11, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dinobatkan sebagai Sasterawan Sarawak keenam.
Jantan Umbat pula merangkul dua gelaran iaitu Anugerah Khas Bahasa dan Sastera serta Anugerah Penulis Sarawak Kategori Bahasa Iban.
Sementara itu, Jaya Ramba pula diiktiraf menerusi dua kategori melibatkan Anugerah Penulis Sarawak Genre Cerpen dan Genre Novel.
Dr Dillah Tuah Pula menerima Anugerah Penulis Sarawak Genre Esei Kritikan sementara Anugerah Penulis Harapan Sarawak dirangkul Lokman Hakim Abdul Wahid dan Frankie Latit.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka hadi pada Anugerah Sastera Sarawak ke-11 yang akan diadakan di Dewan Santapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.-TVS