KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Malaysia hari ini merekodkan 22,242 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.
Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,466,512.
Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes tertinggi berjumlah 6,858 diikuti Sabah (2,413), Pulau Pinang (1,867), Kedah (1,852), Kuala Lumpur (1,587) dan Johor (1,477).
Sebanyak 1,403 kes pula direkodkan di Sarawak, Kelantan (1,351), Perak (1,036), Pahang (675), Melaka (579), Negeri Sembilan (577), Terengganu (487), Perlis (50), Putrajaya (25), dan Labuan (5).
Semalam, Malaysia merekodkan 19,631 kes baharu wabak itu.
— BERNAMA