KUCHING, 13 Okt: Masyarakat diminta untuk memahami agenda pembangunan, perancangan dan segala usaha yang dibawa oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini amat penting agar masyarakat dapat merasakan kesan daripada agenda pembangunan tersebut serta mampu untuk terus memberikan sokongan.
Katanya, salah satu cara terbaik dalam menyokong usaha kerajaan ini adalah dengan mengekalkan perpaduan yang ada agar segala gerak kerja yang dilakukan akan terus membuahkan hasil seperti yang sedang diraih Sarawak pada masa ini.
“Kadang-kadang bila kita tidak faham kita merasainya pun susah, apabila kita faham kesannya kepada kita secara peribadi maka dapatlah kita menyokong usaha Premier dan cara menyokongnya adalah memastikan perpaduan yang ada kita kekalkan.
“Ini untuk memastikan cara bekerja kita sekarang yang telah menampakkan hasil kita kekalkannya supaya jangan kita ganggu kerja memang sudah bagus yang dapat membuahkan hasil jangan ia diganggu lagi kita teruskan memberi sokongan untuk memastikan kejayaan dapat dicapai dengan caranya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Program Jiwa Komuniti Madani Dun N6 Tupong di Dewan Serbaguna Kampung Paroh di sini, pada Ahad.
Tambahnya, jika perpaduan ini tidak dijaga sehingga mengakibatkan berlakunya perpecahan di kalangan rakyat hanya akan merugikan semua pihak sehingga kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu memberi jaminan bahawa geran tahunan kepada Komuniti Madani ini akan diberikan bagi melaksanakan program-program yang dirancang.
Ujarnya lagi, kerjasama erat perlu dilakukan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi memaksimumkan pelaksanaan program serta mengelakkan penganjuran aktiviti yang berulang di satu-satu kawasan.
Tiga Komuniti Madani yang telah ditubuhkan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong ialah Komuniti Madani Kampung Gita Lama, Komuniti Madani Kampung Kolong Dua dan Komuniti Madani Kampong Paroh. -TVS