SIBU, 13 Okt: Seorang wanita cedera selepas pikap dipandu kemalangan kendiri melanggar pokok di Jalan Abdul Rahman di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Donny Sumping berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.20 pagi dengan menggerakkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa kakinya masih tersepit di bahagian hadapan penumpang.
“Pihak bomba bertindak melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan mengalihkan kerusi tersebut bagi melepaskan kaki mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital berdekatan bagi mendapat rawatan. – TVS