LIMBANG,12 Okt: Sebanyak 66 pek bantuan bakul makanan diagihkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Limbang kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Tanjong Ungar hari ini.
Menurut kenyataan PKMB Limbang, pek bantuan bakul makanan itu diserah pihaknya bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Limbang kepada mangsa terputus hubungan sebelum ini.
“Bantuan bakul makanan telah diagihkan dan diserahkan kepada Ketua Kampung Tanjung Ungar Kabul Usok untuk diagihkan kepada semua penduduk yang terjejas,” menurutn kenyataan tersebut.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, keadaan banjir di Kampung Tanjong dan Kampung Tanjong Ungar di kawasan Batu Danau beransur pulih pada Jumaat.
“Hasil pemantauan di Kampung Tanjong dan Kampung Tanjong Ungar mendapati jalan utama dapat dilalui kenderaan kecil dan air beransur surut berbanding pemantauan sebelumnya.
“Penduduk dinasihati untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan berpindah jika tidak selamat,” ujarnya.- TVS.