GEORGE TOWN, 11 Okt: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yakin Sarawak mampu menarik lebih ramai pelancong dari Pulau Pinang.
Pengerusi STB, Datuk Dennis Ngau berkata, ini kerana Sarawak merupakan pusat perkembangan dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Menurutnya, usaha mempromosikan Sarawak di Pulau Pinang mampu menyumbang kepada sasaran empat juta ketibaan pelawat tahun ini yang mana setakat Ogos lepas sudah mencapai 3.3 juta pelawat.
“Selain mempromosikan Sarawak ke seluruh dunia, kita melihat potensi Pulau Pinang. Kita percaya penduduknya yang ramai akan pergi ke tempat menarik di Sarawak.
“Sarawak juga menawarkan pelbagai tarikan pelancong yang bersesuaian dengan minat warga Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sarawak Gateway to Borneo di Queenbay Mall hari ini.
Acara tersebut berlangsung dari 10 hingga 13 Oktober melibatkan pameran kraftangan, makanan, budaya, muzik dan tarian Sarawak.
Sementara itu menurut Dennis, Sarawak juga dilihat sebagai pintu masuk ke Borneo dan memiliki tarikan tersendiri selain berjiran dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan.
“Dalam kajian yang kita buat sebelum ini, ramai pelancong mahu merasa makanan tempatan Sarawak dan kita mempunyai tarikan lain seperti gua, rumah panjang, festival dan keunikan Bandar raya Kuching,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board, Sharzede Salleh Askor dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Shahrul Aman Sabit Ahmad.