Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendengar penerangan berkenaan fasiliti yang terdapat bilik x-ray Hospital Bachok pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di sini hari ini. Foto Bernama

154 projek fasiliti kesihatan di bawah RMK-9 hingga RMK-12 – TPM Fadillah

ByBernama

BACHOK, 11 Okt: Sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) hingga RMK-12 telah dan sedang dilaksanakan, melibatkan kos sebanyak RM14.69 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 111 projek dilaksanakan di bawah RMK-9 hingga RMK-11, manakala 43 projek lagi berada dalam RMK-12.

“Dalam aspek peruntukan, pecahan kos berdasarkan status pelaksanaan merangkumi fasa pra pembinaan (perancangan) iaitu 38 projek dengan anggaran kos RM2.33 bilion.

“Fasa projek dalam pembinaan iaitu 64 projek dengan kos RM8.40 bilion manakala fasa pasca pembinaan (siap) iaitu 52 projek dengan kos RM3.96 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Fadillah berkata keprihatinan kerajaan komited untuk memastikan fasiliti atau prasarana awam yang disediakan memberi manfaat menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata sebanyak 21 projek fasiliti kesihatan telah dan sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya di Kelantan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 hingga Ke-12.

Beliau berkata ia melibatkan dua projek fasiliti kesihatan dalam peringkat perancangan, enam projek dalam peringkat pembinaan dan 13 buah projek telah berjaya diserah yang merangkumi dua buah hospital iaitu Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita bakal menyerahkan satu lagi projek kerajaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan khususnya di Hospital Bachok.

“Projek pembinaan Hospital Bachok ini terletak di daerah Gunong dan lokasinya berada di tengah–tengah daerah Bachok iaitu 2.1 kilometer dari Pekan Jelawat dan 1.3 kilometer dari persimpangan empat Gunong,” katanya.

Fadillah berkata Hospital Bachok yang memiliki tiga tingkat akan dilengkapi dengan pelbagai komponen jabatan, termasuk Dewan Bedah, blok bangunan mekanikal dan elektrik, serta bangunan untuk pengurusan sisa.

“Sudah pasti fasiliti ini bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk sekitar daerah Bachok khususnya, selain penduduk Kelantan secara keseluruhannya.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa Hospital Bachok ini amat dinantikan oleh penduduk tempatan, di samping klinik kesihatan dan klinik desa sedia ada yang terhad kepada saringan dan rawatan awal sahaja,” katanya.

Fadillah berkata sebelum pembukaan Hospital Bachok ini, kebanyakan kes berisiko, terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, yang terletak  sejauh 15 kilometer (km), atau ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, yang berjarak 20 km.

“Secara tidak langsung, kos perjalanan ke hospital dapat dijimatkan, di samping memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat di jajahan ini.

“Saya yakin bahawa dengan penyerahan projek utama seperti Hospital Bachok hari ini, ia akan memberikan manfaat yang signifikan kepada rakyat. Besarlah harapan saya agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang optimum demi kebaikan bersama,” kata Fadillah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan