MIRI, 11 Okt : Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dengan latihan intensif dan kerjasama dengan komuniti setempat.
Ketua BBP Lutong, PBT II Henry Jugah, berkata, setakat ini tiada insiden banjir dilaporkan berlaku dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
“Latihan mingguan dijalankan untuk semua anggota, melibatkan senario penyelamatan di darat, pantai, dan sungai. Minggu hadapan, kami akan menjalankan latihan sungai menggunakan bot bersama pasukan bomba Miri.
“Kami turut melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) untuk berbincang serta melatih mereka dalam menghadapi banjir di kawasan mereka,” kata Henry.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan berisiko seperti Pulau Melayu, Permyjaya, Senadin, dan Kuala Baram turut diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
“Pastikan dokumen penting dijaga rapi dan elak bermain di kawasan pantai dalam cuaca tidak menentu. Jika paras air meningkat, segera hubungi pihak bomba,” tambahnya.
Anak-anak juga dinasihatkan tidak bermain air untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.-TVS