KUALA LUMPUR, 18 Ogos : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini menarik perhatian warganet apabila berkongsi aktiviti sarapannya.
Ismail Sabri memuat naik gambar beliau dan isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal menerusi Facebook yang menunjukkan suasana ceria apabila sedang melayan kucing peliharan mereka kira -kira pukul 11 pagi tadi.
“Baru nak breakfast berdua, Si Oyen (kucing) ni nak join juga,” tulis beliau.
Selepas dimuatnaik kira – kira 30 minit, gambar berkenaan mendapat lebih 43 ribu tanda suka daripada warganet yang rata -rata terhibur menyaksikan kemaskini berkenaan.
Sejak malam tadi, nama Ahli Parlimen Bera itu tular apabila dikaitkan sebagai bakal Perdana Menteri kesembilan.
Ini berikutan mesyuarat khas Barisan Nasional (BN) malam tadi yang telah bersetuju untuk menamakan beliau sebagai calon tunggal Perdana Menteri namun perlu menunggu keputusan rasmi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri pada 7 Julai lalu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin namun hanya sempat menjawat jawatan berkenaan selama 39 hari sahaja selepas Kerajaan PN tumbang ekoran perletakan jawatan Muhyiddin pada Isnin lepas.-TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.