KUCHING, 9 Okt: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memuji Sarawak kerana berani melabur dalam bidang sukan.
Menurutnya, Sarawak juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia harus dijadikan ikutan buat negeri lain.
“Kita sangat gembira Sarawak sangat proaktif untuk bekerjasama dengan KBS bagi menganjurkan beberapa temasya dan kejohanan kerana mereka ada tempat menarik dan infrastruktur.
“Cabaran kita sekarang, adakah negeri lain akan datang (bersama KBS) dan kita tidak boleh hanya mengharapkan Sarawak sahaja untuk membantu,” katanya.
Hannah berkata, sukan adalah antara bidang yang boleh dipelopori kerajaan negeri bagi menggalakkan lagi industri pelancongan sekali gus merancakkan ekonomi negeri masing-masing.
Sebelum ini, Sarawak menunjukkan komitmen tinggi apabila menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para Sukma 2024 selain bersedia menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan SEA 2027.-TVS