KUCHING, 8 Okt: Lebih 100 pakej pelancongan dengan tawaran diskaun menarik antara 15 hingga 50 peratus bakal ditawarkan sempena Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024.
Karnival yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula dari 25 hingga 27 Oktober depan diadakan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, penganjuran acara KCCM 2024 ini bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Pada masa sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan lebih 100 wakil industri yang terdiri daripada jabatan pelancongan negeri, agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, hotel, taman tema serta pengusaha kraf tangan.
“Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan kunjungan orang ramai ke Kompleks Kraf,” katanya.
Salah satu tarikan utama di KCCM 2024 adalah Pasar Saloma, iaitu sebuah platform niaga untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mengetengahkan konsep perkampungan Melayu klasik.
Pasar Saloma akan hadir dengan tema nostalgia dengan lebih daripada 30 reruai akan menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil menawarkan pelbagai jualan seperti juadah tradisional dan produk-produk unik yang digemari sejak turun-temurun.
Selain itu, bagi memastikan keselesaan para pengunjung, perkhidmatan shuttle juga disediakan dengan laluan dari tempat letak kereta Malaysia Design Development Centee (DDEC) dan MATIC terus ke Kompleks Kraf.
Pengunjung juga boleh memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam, termasuk MRT yang berhenti di Stesen Jalan Conlay serta Bas KL Hop-On-Hop-Off (KL HOHO) yang turut berhenti di hadapan Kompleks Kraf serta berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Bergerak yang juga turut disediakan.
Mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia akan memperhebatkan usaha promosi dan pemasaran pelancongan domestik untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan dengan sasaran mencapai 220 juta pelawat domestik pada tahun ini.
KCCM 2024 merupakan acara julung kali diperkenalkan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia dengan tema “Crafting Holidays” yang mana menawarkan peluang kepada pelancong untuk merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung dalam aktiviti seni, kraftangan dan budaya warisan tempatan. – TVS