KUALA LUMPUR, 8 Okt: Stesen televisyen wilayah pertama di Malaysia, TVSarawak (TVS) akan memberi sokongan kepada penganjuran acara antarabangsa, Islamic Fashion Festival.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushari Abang berkata, festival yang dinaungi oleh Tengku Ampun Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand itu dijangka akan dihadiri oleh tetamu kenamaan.
“Antara tetamu kehormat yang dijangka mencemar duli menghadiri pertunjukan fesyen itu ialah Sultanah Kelantan, Tengku Permaisuri Selangor dan Raja Permaisuri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran TVS Spotlight: Memperluas Sempadan, Menghubungkan Komuniti di Bangsar di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Mohd Ismail dan Ketua Pegawai Media SMG, Sardon Zainal.
Sokongan yang diberikan terhadap festival berkenaan oleh TVS membabitkan liputan berita selain akan disiarkan menerusi rancangan bual bicara fesyen dan topik wanita diterbitkan iaitu Anggun.
Sementara itu beliau memaklumkan, TVS juga akan menyiarkan rancangan dan siaran langsung menarik dari seluruh negara dan antarabangsa pada tahun – tahun mendatang. -TVS.