KUALA LUMPUR, 9 Okt: Pembatalan pembelian kira-kira 10,000 tan minyak sawit mentah keluaran Malaysia oleh kilang penapis di India susulan kenaikan cukai import sebanyak 20 peratus oleh kerajaan negara itu dilihat hanya bersifat sementara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, berdasarkan populasi besar India mencecah 1.45 bilion, negara di Asia Selatan itu akan terus memerlukan minyak sayuran untuk penggunaan.
“Oleh itu, saya percaya bahawa sebarang pembatalan sebegini hanya sementara (malas) mereka kekal sebagai pasaran penting untuk minyak sawit kita.
“Malaysia akan terus menjadi rakan utama bagi India dan kita juga akan terus menjual produk minyak sawit berkualiti tinggi.
“Semasa pertemuan dengan rakan sejawat di India beberapa bulan yang lalu, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk menyokong industri minyak sawit mereka, termasuk melalui teknologi dan bidang-bidang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) di sini semalam.
Menurut laporan, India menaikkan cukai import asas ke atas minyak makan mentah dan ditapis sebanyak 20 mata peratusan, sekali gus meningkatkan jumlah duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 27.5 peratus daripada 5.5 peratus.
Pembatalan itu mewakili 13.3 peratus daripada jumlah import bulanan India yang berjumlah 750,000 tan.
Ditanya sama ada Malaysia akan meminta kerajaan India mengurangkan cukai import, Johari berkata Malaysia menghormati keputusan setiap negara pengguna.
Selain Malaysia, India turut mengimport minyak sawit dari Indonesia dan Thailand.
Sementara itu, Johari berkata Malaysia terbuka untuk berdagang minyak sawit dengan negara lain termasuk Rusia, Timur Tengah dan negara – negara di benua Afrika.
“(Sebenarnya) masih banyak peluang dan potensi untuk Malaysia teroka dan mengembangkan industri minyak sawit sambil mempromosikan kemampanannya,” katanya.
Johari menambah, penggunaan minyak sawit yang meningkat di pasaran global juga akan memberi impak positif kepada negara pengeluar terutamanya Malaysia. -TVS