KOTA KINABALU, 7 Okt: Sekumpulan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Sarawak untuk mempelajari proses pembangunan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan oleh JKR Sarawak.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rombongan kakitangan JKR Sabah tersebut diundang oleh JKR Sarawak bagi tujuan perkongsian pengalaman, khususnya berkaitan pembangunan Pan Borneo.
“Saya difahamkan bahawa JKR Sabah yang mengendalikan sektor Pan Borneo di Sabah telah diundang ke Sarawak oleh JKR Sarawak untuk belajar dari pengalaman mereka.
“JKR Sarawak sangat terbuka dalam memberi nasihat dan berkongsi pengalaman kerana projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 99% siap. Ini membolehkan Sabah belajar daripada Sarawak dan mengelakkan kesilapan yang boleh diperbaiki dalam pakej Pan Borneo Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat JKR Sabah, Kota Kinabalu, pagi tadi.
Menurut Ahmad, setakat Ogos 2024, kemajuan Projek Pan Borneo Fasa 1A di Sabah telah mencapai 79.48%, berbanding projek di Sarawak yang sudah 99% siap.
Ahmad turut menasihati pihak konsesi dan kakitangan JKR yang bakal terlibat dalam pembangunan Pakej 1B supaya mengambil iktibar daripada kelewatan yang berlaku dalam Pakej 1A.
“Saya berharap pasukan yang terlibat dalam Pakej 1B dapat belajar daripada kesilapan yang berlaku dalam Pakej 1A supaya kelewatan dan masalah yang sama tidak berulang,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad menyatakan bahawa sejumlah RM39.6 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan di Sabah tahun ini di bawah Kementerian Kerja Raya, termasuk RM26.6 bilion untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Projek-projek ini melibatkan fasa pembinaan dan pra-pembinaan yang meliputi empat kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan (RM0.43 billion), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (RM5.04 billion), Kementerian Pendidikan (RM1.71 billion), dan Kementerian Kerja Raya (RM5.78 billion).
“Bagi projek yang melibatkan 200 projek di bawah Kementerian Pendidikan, 41 di bawah Kementerian Kesihatan, 200 projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, serta 47 projek di bawah Kementerian Kerja Raya dengan jumlah keseluruhan RM13 bilion, semua ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti,” jelasnya.
Ahmad turut memaklumkan bahawa gabungan Pakej 1A dan 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bernilai RM26.6 bilion, dan apabila digabungkan dengan peruntukan lain, jumlah keseluruhan projek yang dikendalikan oleh Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, dan JKR Sabah untuk pembangunan di Sabah tahun ini ialah RM39.6 bilion. -TVS