KUCHING, 7 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi atas pemergian ibu mentuanya, mendiang Puan Sri Datin Sri Elizabeth Pawa pada Isnin.
Abang Johari ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir di kediamannya turut berdukacita dengan pemergian itu.
“Hari ini saya datang untuk menziarahi keluarga mendiang, sudah tentu kita berasa sedih atas pemergian Puan Sri Datin Sri Elizabeth Pawa, seperti anda sedia maklum, kami sudah berkenalan, bersama mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan.
“Ketika itu, Tan Sri merupakan Ketua Pemuda PBB, di mana saya adalah timbalannya, kami sangat rapat sebagai rakan dan keluarga, termasuk mendiang Puan Sri (Elizabeth),” katanya.
Beliau turut berharap agar ahli keluarga tabah dengan pemergian orang tersayang sambil mendoakan agar roh mendiang bersemadi dengan aman dan tenang.
“Takziah kepada keluarga, atas pemergian ini, saya harap ahli keluarga tabah dan bersabar, kita sama-sama doakan agar rohnya, bersemadi dengan tenang,” katanya.
Mendiang Elizabeth Pawa, dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Urat Mata Tabuan kira-kira pukul 9.55 pagi Ahad pada usia 76 tahun.
Berita pemergian Elizabeth, yang juga isteri kepada bekas menteri kabinet Sarawak dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Celestine Ujang itu turut dikongsikan oleh Alexander dalam laman sosialnya. -TVS