MIRI, 6 Okt: Tiga individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan lalu terbakar di Jalan Pan Borneo Niah-Bintulu, Gelasah Suai di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Ladi Eni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 6.59 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Niah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya antara Toyota Hilux dan Kia Picanto. Akibat kemalangan tersebut Kia Picanto telah terbakar keseluruhan.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah size up dan menggunakan PPE lengkap, pihak bomba memulakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos salur bantu mula (hosereel), satu nozel sumber air dari pam jentera untuk memadamkan kebakaran pada kereta jenis Kia Picanto yang terbakar sehingga api dipadam sepenuhnya.
“Setelah kebakaran tersebut dipadam sepenuhnya dan keadaan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. -TVS