KUCHING, 6 Okt: Kolaborasi muzik merupakan strategi bagi perkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut penyanyi terkenal Indonesia Rizky Febian, ia membolehkan kedua-dua pihak memperkenalkan industri muzik.
“Saya sebenarnya sudah melakukan ini dari beberapa tahun termasuk kolaborasi bersama Aisyah Aziz. Tiada yang salah dengan kolaborasi antara muzik Indonesia mahupun Malaysia,” katanya pada sidang media Kuching Jazz Festival di sini, malam tadi.
Berkongsi cerita, Rizky mendedahkan lagu baharunya kelak bakal menyaksikan kolaborasi dengan pengubah muzik muda yang dikenali sebagai Afiq yang mempunyai bakat luar biasa.
Beliau berharap kolaborasi itu memperlihatkan pengukuhan antara muzik Malaysia dan Indonesia.
“Kita melakukan sesuatu dari hal yang sederhana tetapi ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa nanti,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai rancangan tahun hadapan, Rizky mendedahkan beliau tidak mempunyai masalah untuk mengadakan konsert di Kuching bersama-sama isterinya, Mahalini.
Untuk rekod, penyanyi berusia 26 tahun itu mula berkecimpung dalam dunia seni seawal 2013 dan Kuching Jazz Festival 2024 merupakan penampilan sulungnya di Sarawak.
Semalam, Rizky menggegarkan Kuching Jazz Festival di hadapan ribuan peminat dengan lagu popularnya seperti Hingga Tua Bersama, Makna Cinta, Seperti Kisah dan banyak lagi. – TVS