Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Larian Timpohon 2024 yang julung kali diadakan di Taman Kinabalu Kundasang,. Foto TVS

Peluang unik berlari di laluan Climbathon

RANAU, 5 Okt: Buat julung kalinya peminat larian denai yang tidak berkesempatan menyertai Mount Kinabalu International Climbathon di Kundasang diberi peluang merasai laluan sebenar melalui Larian Timpohon 2024 yang diadakan hari ini di Taman Kinabalu, Kundasang.

Larian Timpohon berjaya menarik 170 peserta dari Sabah dan Semenanjung Malaysia menawarkan laluan sepanjang 9.8 kilometer yang melibatkan jalan raya serta sebahagian laluan yang turut digunakan dalam Climbathon.

Laluan yang mencabar itu bermula dari Dewan Kinabalu melalui Laluan Mempening, menuju ke Pintu Timpohon, sebelum kembali semula ke Dewan Kinabalu, di sekitar kaki Gunung Kinabalu, Kundasang.

Menurut Pegerusi Penganjur Timpohon Run 2024, Auther J Kimon, Larian Timpohon 2024 bukan sahaja menjadi pentas bagi pelari merasai suasana dan cabaran laluan pendakian Gunung Kinabalu, malah memberikan mereka pengalaman unik dalam suasana alam semula jadi yang menakjubkan.

Larian tersebut hanya dapat dibuka kepada 300 peserta sahaja kerana lokasinya yang terletak di Kinabalu Parks atau Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menghadkan kemasukan peserta ke dalam kawasan tersebut.

“Walaupun kami hanya menerima 170 peserta, tetapi ini merupakan kali pertama larian ini dibuka kepada orang ramai, dan bagi kami jumlah ini sudah melebihi jangkaan kami. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan buka pendaftaran lebih awal tahun hadapan. Jika peserta suka dengan larian kali ini, mereka akan kembali lagi tahun hadapan,” kata Auther.

Larian tersebut menawarkan dua kategori utama, iaitu Lelaki dan Wanita, di mana pemenang tempat pertama menerima RM500, tempat kedua RM400 dan tempat ketiga RM300. Selain itu, pemenang tempat keempat dan kelima membawa pulang RM200 dan RM150 masing-masing.

Pemenang tempat pertama bagi kategori wanita, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid yang berasal dari Perak berkata, beliau menyertai Timpohon Run 2024 sebagai persediaan untuk Climbathon.

Menurutnya, tahun ini merupakan kali kedua beliau menyertai larian Climbathon selepas kali terakhir menyertai lapan tahun lalu.

“Saya tidak jangkakan keputusan yang sebaik lapan tahun lalu, kerana semasa itu saya ada dua orang anak, dan kini saya ada empat. Namun, saya rasa saya mempunyai kelebihan dari segi pengalaman.

“Sebelum tahun ini, saya akan mengikuti larian pada setiap hujung minggu, dan saya rasa ia membuatkan saya lebih berpengalaman sekarang,” katanya.

Berkongsi tentang minatnya di dalam larian denai, Tahira berkata, sukan tersebut membuatkan dirinya berasa gembira.

“Pada saya sukan lasak ini atau sukan multi sports, larian denai atau larian gunung ini bukan saja cabar fizikal, tapi bagi saya ia adalah bersifat peribadi yang mana  ia merupakan masa untuk diri saya sendiri. Jika saya menghadapi masalah saya juga akan mencari jalan penyelesaian dengan menyertai larian.

“Ia adalah ‘me time’ dan ‘happy time’ bagi saya,” katanya.

Katanya, walaupun kini bergelar ibu kepada empat anak, beliau berharap untuk terus kekal aktif dalam larian selagi kesihatan beliau mengizinkan.

Tahira berjaya menghabiskan larian beliau dalam masa 1 jam 6 minit 19 saat, dan mengharapkan keputusan yang baik di dalam Larian Climbathon, esok (Ahad).

Sementara itu, pemenang tempat kedua Timpohon Run bagi kategori lelaki, Jameson Daikin, 29, berkata beliau tidak menjalani sebarang latihan untuk Larian Timpohon tetapi berjaya memenangi tempat kedua kerana menaiki gunung setiap hari dalam kerjanya sebagai porter Gunung Kinabalu.

“Saya tidak sangka memenangi (tempat kedua) kerana saya jarang berlatih, kerana saya mempunyai kerja, angkat barang naik gunung. Selepas saya sampai ke rumah, saya sudah terlalu letih dan tidak dapat berlatih lagi,” katanya, sambil menambah beliau mendaki Gunung Kinabalu enam kali seminggu.

Jameson juga menyatakan hasrat untuk menyertai Mount Kinabalu International Climbathon selepas permohonan beliau untuk menyertai larian itu ditolak tahun ini.

Mount Kinabalu International Climbathon tahun ini yang dinanti-nantikan akan berlangsung esok, 6 Oktober 2024, dengan pelari dari seluruh dunia bakal menempuh laluan pendakian sepanjang 33 kilometer di Gunung Kinabalu yang ikonik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan