LIMBANG, 5 Okt: Sarawak Energy Berhad (SEB) digesa memberi penjelasan lanjut mengenai lonjakan bil elektrik terutama sekali perniagaan berikutan penggantian kepada meter pintar sehingga menimbulkan kebimbangan pengguna di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini kerajaan Sarawak masih mengenakan kadar tarif elektrik yang sama meskipun SEB melaksanakan kaedah pemasangan meter pintar di seluruh Sarawak.
“Untuk elektrik bagi domestik dan komersil, belum ada perubahan, cuma mungkin dari segi pelaksanaan itu jadi pihak SEB perlu terangkanlah, dari segi kadar itu tidak ada perubahan mungkin dari pelaksanaan transisi dari kaedah ini kaedah itu mungkin itu perlu penjelasan.
“Saya berharap kementerian Utiliti bersama SEB harus menerangkan perkara ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang bagi mengulas kebimbangan orang ramai mengenai lonjakan bil elektrik di Sarawak ketika ini.
Sebelum ini, Sarawak Energy dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa peningkatan caj elektrik dialami pengguna baru-baru ini berkait rapat dengan kebolehan meter pintar baharu yang merekodkan penggunaan tenaga dengan lebih tepat.
Menurut kenyataan itu lagi, peningkatan bil ini juga berpunca daripada kurang pendaftaran oleh meter lama dan perubahan bermusim dalam penggunaan tenaga.
Susulan itu pengguna melahirkan kebimbangan dengan kenaikan bil elektrik mereka selepas bertukar kepada meter pintar tersebut. – TVS