KUCHING, 5 Okt: Kuching Jazz Fetival 2024 membuka peluang kepada Atilia Haron dan ahli muziknya mendendangkan lagu asal ciptaan mereka.
Menurut Atilia, festival dan kelab menjadi platform kepadanya untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri.
“Setiap kali melakukan persembahan dalam acara korporat, saya hanya mendendangkan lagu dari artis lain. Jadi kerana itu saya berasa gembira dapat melibatkan diri dalam festival ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kuching Jazz Festival di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak lapan lagu yang bakal mereka dendangkan pada malam ini manakala satu dendangan dari karya artis lain.
Tambahnya, pelbagai persiapan rapi dilakukan untuk menjayakan persembahan malam ini.
Pada masa sama kata Atilia, sebagai anak kepada penyanyi legenda, Salamiah Hassan, cabaran sudah pasti ada terutama ketika berkomunikasi dengan orang lain.
“Bagaimanapun, anda perlu berdiri teguh untuk diri sendiri dan bersikap baik kepada orang lain.
“Cara percakapan anda kepada orang itu sangat penting, tidak kira berapa lama anda berada dalam industri ini tetapi perwatakan adalah antara faktor yang penting,” ujarnya.
Untuk rekod, Atilia mula berkecimpung dalam industri muzik pada 1998 dan antara lagu pendek bagi iklan seperti Paddle Pop, Pizza Hut dan Malaysia Truly Asia selain lagunya, Cinta Sampai Mati, Bahagiaku, Segalanya dan banyak lagi. – TVS