PADAWAN, 5 Okt: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Persatuan Peladang Kawasan (PPK) diminta membantu mengkomersialkan hasil tani di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pihak yang terlibat dengan pertanian berperanan penting sebagai medium menggerakkan hasil pertanian untuk dipasarkan secara strategik.
Menurutnya, bangunan baharu PPNS perlu digunakan secara bijak bagi mengembang dan merancakkan aktiviti hiliran sekali gus mencegah pembaziran terhadap produk pertanian.
“Kita suruh tanam orang tanam kita suruh atur semua orang boleh atur tapi macam mana hendak jual mana mahu jual.
“Jadi, saya harap PPNS dan PPK mengatur bagaimana petani kita mendapat manfaat daripada bangunan baharu PPNS berjumlah RM17 juta,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok 2024 di Padawan pada Sabtu.
Tambahnya, beliau menyeru lebih ramai masyarakat datang ke program seperti hari terbuka untuk memperoleh pelbagai manfaat dan ilmu dalam bidang pertanian.
Katanya, kunjungan tersebut mampu menjadi motivasi serta titik permulaan kepada pengunjung selepas mendengar kisah kejayaan dan cara petani menghadapi rintangan dalam pertanian.
“Saya mahu melihat hari terbuka ini sebagai satu motivasi dan pembuka mata tentang kisah kejayaan namun turut berkongsi cabaran yang dihadapi dalam pertanian.
“Pihak pertanian juga akan memberi anda beberapa idea yang boleh diambil untuk dilaksanakan secara komersial,” katanya. – TVS