Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus mengadakan pertemuan dua hala di sini hari ini. Foto Anwar Ibrahim (FB)

Malaysia akan utamakan permintaan Bangladesh bagi peluang pekerjaan

ByBernama

DHAKA, 4 Okt: Malaysia akan memberi pertimbangan utama kepada permohonan pekerja Bangladesh yang kehilangan peluang akibat perkembangan politik di negara mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan Bangladesh telah membuat rayuan kepada Malaysia berhubung kemungkinan menambah pengambilan pekerja dan golongan profesional dari negara berkenaan.

“Sudah pasti saya akan memberikan pertimbangan utama itu, sekurang-kurangnya pada fasa pertama, tertakluk pada semua syarat dipenuhi, perkara ini boleh dilaksanakan secepat mungkin,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus selepas mengadakan pertemuan dua hala di sini hari ini.

Anwar melakukan lawatan sehari dan ia yang pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh Muhammad, pemenang hadiah Nobel.

Mengenai pelaburan, Anwar berkata kedua-dua negara perlu memberi tumpuan dan keutamaan kepada syarikat-syarikat pelaburan serta memastikan sebarang masalah ditangani dengan pantas dan secara telus.

“Di Malaysia, fokus kami ialah tadbir urus, antirasuah dan asas ekonomi, kami tidak berkompromi terhadap hal ini kerana kami tidak perlu mengaitkan pemimpin politik dengan pengumpulan kekayaan yang memanfaatkan diri, keluarga atau kroninya.

“Justeru, saya faham walaupun kami mahu syarikat Malaysia beroperasi di sini (Bangladesh) diberi pertimbangan sewajarnya, saya tidak akan berkompromi terhadap isu ketelusan dan usaha wajar dalam proses ini,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara juga akan melihat kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, ekonomi halal dan industri semikonduktor.

“Kita boleh mempercepat rundingan dan aturan perdagangan, tetapi yang penting ialah mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama secepat mungkin,” kata Anwar.

Sementara itu, Muhammad berkata Dhaka menantikan mesyuarat itu pada awal tahun depan untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

“Bidang kerjasama masa depan boleh merangkumi kewangan termasuk dana kekayaan negara, dana pencen, dana ekuiti swasta, kesihatan, pendidikan, sains data dan AI (kecerdasan buatan),” kata Muhammad. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan