KUCHING, 3 Okt: Sudah pasti peminat muzik tempatan tidak menyangka karier seni anak kelahiran Sarawak, Mohd Hafiz Suip atau mesra disapa Hafiz sudah mencapai 15 tahun,
Bintang kelahiran sebuah program realiti tahun 2009 ini mula mengorak langkah dalam industri hiburan selepas menjuarai program tersebut dan bintangnya terus bersinar sehingga ke detik ini.
Hafiz Suip akur tentang jerih payah yang dilaluinya sebagai anak seni dan Konsert Perjalananku merupakan sebuah manifestasi seni muzik serta buah tangan daripada pelantun lagu Awan Nano ini kepada peminat yang sentiasa bersama beliau setiap masa.
“Mesej yang ingin saya sampaikan adalah perjalanan seorang anak seni bernama Hafiz Suip yang mana keluarga terutama kisah ibu yang menjadi tulang belakang utama dalam melayari kehidupan sebagai seorang individu yang bukan siapa-siapa sehinggalah menjadi individu yang anda lihat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Perjalananku di Kuching pada Jumaat.
Konsert Perjalanankucbakal berlangsung pada 13 Oktober ini di Hikmah Exchange Event Centre Kuching yang mana Hafiz Suip akan mendendangkan lebih 14 lagu sepanjang perjalanan kariernya dalam bidang seni suara termasuk Ku Akui, Hanya Ingin Kau Cinta dan Masih Jelas. – TVS