MATU, 4 Okt : Enam sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah jenis tidak kekal yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Tian, hari ini.
Kesemua mangsa yang berusia 19 hingga 73 tahun bagaimanapun dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi, semua penghuni sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan begitu pantas. Kejadian mengakibatkan kediaman berkenaan musnah sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai tindakan lanjut, bomba membuat pemadaman menggunakan pancutan pam angkut sumber air terbuka dan satu aliran Salur Bantu Mula (BSM).
“Kita mengawal api pada jam 10.19 pagi dan tindakan itu juga berjaya mengelak api daripada merebak ke beberapa rumah yang berhampiran.
“Bomba menamatkan sepenuhnya operasi pada pukul 1.07 tengah hari tadi,” katanya.
Jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – TVS