Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi diberi sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif. Foto Anwar Ibrahim (FB)

Lawatan negara Anwar ke Pakistan raih potensi perdagangan RM2.65 bilion – Tengku Zafrul

ByBernama

ISLAMABAD, 4 Okt: Lawatan negara tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan berjaya meraih potensi perdagangan bernilai RM2.65 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata Pakistan turut memberikan komitmen untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit dari Malaysia dan juga import produk berasaskan kayu, baja, petrokimia serta oleokimia.

“Lawatan (negara oleh Perdana Menteri ke Pakistan) turut menghasilkan komitmen pelaburan bernilai RM100 juta dalam sektor halal yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun,” katanya semasa sidang media pada akhir lawatan tiga hari Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata kedua-dua negara juga akan mengadakan rundingan pada bulan depan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan (MPCEPA).

Perjanjian MPCEPA sebenarnya telah lama berkuat kuasa iaitu sejak Januari 2008 dan kajian semula mengenainya dijangka selesai pada 2026, katanya.

Pelancaran rundingan kajian semula MPCEPA adalah supaya lebih banyak manfaat boleh diraih oleh Malaysia dan Pakistan melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu.

Tengku Zafrul turut berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membuka pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Karachi pada 15 Oktober ini.

Selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Pakistan di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan semalam, MATRADE juga telah menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP), disaksikan Anwar.

Sempena lawatan negara Perdana Menteri ke Pakistan, agensi di bawah MITI juga telah menganjurkan Dialog Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Pakistan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif.

Dialog perniagaan itu telah menarik penyertaan 67 syarikat dan tujuh persatuan perniagaan dari Pakistan serta Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan