Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dihantar balik ke Zamboanga City dari Pelabuhan Sandakan.

650 tahanan Filipina di Sabah dihantar balik

SANDAKAN, 4 Okt: Seramai 650 tahanan warganegara Filipina dihantar pulang ke Zamboanga City, Filipina daripada Pelabuhan Sandakan, Sabah melalui Program Pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) siri ke-16 tahun 2024 pada Khamis.

Tindakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) itu menyaksikan tahanan terdiri daripada seramai 565 adalah tahanan lelaki, 50 wanita, 34 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, dan seorang bayi berusia 23 bulan.

Kesemua PATI berasal dari Depot Imigresen Papar itu dipindahkan menggunakan kapal MV Antonia 1, diiringi oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Operasi), Jafri Embok Taha, ini merupakan program pemindahan susulan yang menjadikan jumlah keseluruhan tahanan warganegara Filipina yang dipindahkan sepanjang tahun ini mencecah 3,418 orang, dengan gabungan pengangkutan laut dan udara seramai 5,713 tahanan asing.

PATI yang dihantar pulang telah melanggar pelbagai peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan pemindahan mereka dilakukan setelah proses perundangan negara diselesaikan.

Sementara itu, Jafri mengingatkan para majikan di Sabah untuk memastikan pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.

Beliau juga memberi amaran kepada pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) di Sabah agar tidak menyalahgunakan pas untuk tujuan lain seperti bekerja, yang melanggar syarat-syarat ditetapkan.

“Saya ingatkan kepada individu-individu yang menggunakan PLS (Pas Lawatan Sosial) supaya tidak menggunakan PLS ini untuk tujuan-tujuan selain untuk melancong dan sebagainya, seperti terlibat dalam sektor-sektor pekerjaan, kerana PLS tidak melayakkan mereka berada di sini melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Tindakan yang tegas akan diambil terhadap mereka yang ‘overstay’, menggunakan PLS untuk tujuan melakukan aktiviti atau pekerjaan-pekerjaan yang lain,” katanya.

Afri Embok juga meminta kerjasama daripada orang awam di Sabah untuk melaporkan kehadiran PATI di Sabah kepada pihak Jabatan Imigresen supaya tindakan segera dapat diambil.

“Dalam masa yang sama juga pihak JIM Sabah komited untuk terus menguatkuasakan undang-undang yang digariskan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan mohon kerjasama pada masyarakat awam di luar sana sekiranya mereka mempunyai maklumat yang berkaitan mengenai aktiviti kewujudan PATI dan sebagainya untuk beri laporan kepada kami di JIM Sabah,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan