MIRI, 3 Okt: Seorang lelaki ditahan polis bersama 50 kotak minuman keras yang disyaki tidak dibayar cukai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek ditahan di tepi jalan selepas polis mendapati minuman keras itu berada di belakang pikap yang dipandu lelaki tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras yang dibawa itu disyaki tidak dikenakan cukai kastam. Polis bertindak merampas kenderaan pikap beserta minuman keras tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Penahanan itu dilakukan oleh Unit Risikan Pasukan Marin Wilayah 5 dalam Ops Kontraban, sekitar 11.05 pagi.
Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM101,549.50 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Alexson turut menyeru masyarakat di Miri untuk bekerjasama dengan polis dalam membanteras jenayah penyeludupan.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pihak berkuasa di mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi talian 085-433730. – TVS