KUALA LUMPUR, 3 Okt: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap pengganas yang menyerang Lahad Datu.
Azlina berkata, ini mengambil kira perbuatan mereka menodai kedaulatan negara pada 2013.
“Perbuatan mereka menyebabkan ramai anggota keselamatan kita gugur dałam keadaan sangat menyayat hati,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan hukuman mati dikekalkan kepada tujuh pengganas Filipina yang melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Semua pemohon itu adalah Panglima Tentera Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang juga anak saudara Jamalul Kiram III yang mengakui dirinya Sultan Sulu.
Enam individu lain ialah Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.
Azalina berkata pengganas Sulu kini mengemukakan tuntutan palsu ke atas Malaysia.
Beliau pada masa sama turut menyeru rakyat Malaysia supaya memahami kejadian tragis itu dengan menonton filem Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada kisah sebenar. -TVS.