LAWAS, 3 Oktober: Hospital Berpakar Minor Lawas yang kini dalam pembinaan dan mengikut jadual dijangka siap pada Jun tahun depan.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni berkata hospital baru yang amat dinanti lebih 60,000 penduduk Lawas dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk berupaya memuatkan 76 katil.
“Bagi status hospital Lawas pada peringkat ini sehingga 30 September 2024, peratusan pelaksanaannya adalah sekitar 84.66 peratus dan juga mengikut jadual.
“Bagaimanapun terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak kontraktor yang akan kita selesaikan berkaitan yang memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat dan taklimat perkembangan pembinaan hospital Lawas dalam Program Jelajah Sarawak Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata setelah hospital baharu Lawas siap kelak ia bakal menyaksikan peningkatan sumber manusia yang mendadak kerana ia membabitkan pertambahan kakitangan perubatan.
“Setakat ini beberapa doktor pakar berkenaan telah berada di Lawas dan sebahagian lagi ditempatkan sementara di Hospital Miri,” ujarnya.
Jelasnya komitmen tinggi agensi pelaksana seperti kontraktor dan PBT amat diperlukan dalam memastikan projek ini berjalan sempurna.
Ujarnya KKM mempunyai dua projek utama di Lawas ini iaitu Hospital Lawas dan juga Klinik Kesihatan Lawas . – TVS.