TAIPING, 3 Okt: Polis memberkas seorang lelaki warga Nepal bagi membantu siasatan kes membuang mayat bayi perempuan di tepi Sungai Larut, Simpang Taiping di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Taiping kira-kira pukul 3.32 pagi yang memaklumkan terdapat pesakit wanita warga Kemboja dalam keadaan sedar dan baru melahirkan anak.
Ujarnya, bayi wanita itu dikatakan telah meninggal dunia dan tidak dibawa bersamanya ke hospital yang disyaki telah dibuang.
“Susulan itu, suspek lelaki warga Nepal berusia 34 tahun berjaya ditahan dalam masa kurang 24 jam.
“Tangkapan telah menunjukkan tempat bayi tersebut dibuang di kawasan tepi Sungai Larut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang kanak-kanak dengan membuang mayat dengan sulit. – TVS