KUALA LUMPUR, 1 Okt: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Shigeru Ishiba yang terpilih sebagai Perdana Menteri baharu Jepun.
Anwar berkata dengan pelantikan baharu itu, beliau ingin terus menjalinkan kerjasama rapat dengan Ishiba dalam usaha meneroka peluang baharu, selain membina masa depan yang makmur dan selamat bersama.
Jelas beliau, Negara Matahari Terbit itu merupakan rakan kongsi terpenting buat Malaysia dan berperanan besar dalam aktiviti ekonomi negara ini.
“Peranan Jepun dalam perjalanan ekonomi Malaysia adalah penting. Syarikat Jepun berkhidmat sebagai rakan kongsi yang amat diperlukan, dalam usaha kami mencapai ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi,” katanya menerusi catatan di X, hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik yang komprehensif semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Fumio Kishida, pada Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kishida yang telah berusaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara semasa pentadbirannya sebelum ini. -TVS.