Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tempoh 17 bulan berkhidmat sebagai Menteri KPDNHEP tidak cukup – Nanta Linggi

ByOdleen Catherny

KUCHING, 16 Ogos: Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan rasmi hari ini.

Dalam kenyataannya beliau menggambarkan tempoh 17 bulan berkhidmat tidak cukup kerana masih banyak lagi yang mahu dilaksanakan.

Bagaimanapun tempoh itu juga telah memberi banyak pengalaman dan pelajaran yang cukup bermakna kepadanya.

“Masih banyak lagi perancangan yang ingin saya laksanakan, sekiranya diberikan tempoh berkhidmat lebih lama di sini.

“Namun saya akur dengan situasi semasa yang melanda negara pada ketika ini,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, beliau memberitahu sumbangannya kepada Sarawak antara pencapaian paling membanggakan sebagai anggota kabinet persekutuan.

Antaranya termasuklah membantu Sarawak memperoleh pengecualian peraturan gas petroleum cecair (LPG) di negeri ini, mendapatkan kebenaran untuk SEDC Energy Sdn Bhd untuk menjadi syarikat minyak di Sarawak.

Selain itu, juga beliau telah membantu menyelesaikan isu cukai jualan petroleum melibatkan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Pencapaian-pencapaian ini telah menjadi salah satu peristiwa penting buat Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.

Tambahnya, menerajui Kementerian di kala negara dilanda wabak Covid-19 sangat mencabar, memandangkan situasi ini tidak pernah dijangkakan.

Malah, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

“Pelbagai cabaran yang dihadapi, terutamanya masalah bekalan dan harga barangan keperluan termasuk pelitup muka serta pembelian panik yang tercetus akibat penularan wabak Covid19 yang berleluasa,” katanya.

Beliau juga menyifatkan dirinya bertuah kerana telah dibantu oleh Timbalan Menteri Dato’ Rosol Wahid, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan semua pegawai di KPDNHEP yang tidak pernah kenal erti lelah membantu menangani pelbagai isu di bawah Kementerian itu.

“Saya juga bersyukur kerana berkesempatan melawat semua Pejabat dan warga KPDNHEP negeri di seluruh negara yang juga banyak membantu tugas-tugas saya sebagai Menteri KPDNHEP.

“Kerjasama di antara kami amat kukuh dan baik dan saya berharap silaturrahim ini akan terus terjalin meskipun saya tidak lagi berada di Kementerian ini.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menyusun 10 jari di atas segala kekurangan dan kelemahan saya selama menerajui kementerian ini,” katanya.

Beliau yakin semua pegawai tertinggi dan kakitangan KPDNHEP akan terus memberikan khidmat terbaik demi kepentingan rakyat dan negara.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap semua pemain industri sektor perdagangan dan peruncitan yang sering memberi maklum balas konstruktif bagi membantu pihak Kementerian mencari jalan kepada pelbagai isu.

“Open door policy yang sering saya tekankan telah memberi peluang kepada ramai pihak untuk sama-sama memberikan pendapat mereka bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

“Tidak ketinggalan konsep “ease of doing business” yang sering saya ingatkan kepada semua pegawai supaya kementerian ini dapat berfungsi secara maksimum bagi memudahkan peniaga dan pengguna,” katanya.

Seperti yang diketahui umum, situasi politik yang tidak menentu di dalam negara telah menyaksikan perletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini.

Keputusan ini telah meninggalkan kesan kepada sistem pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Nanta menzahirkan penghargaannya kepada Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan untuk menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan