Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemindaahan tisu (kornea mata) sedang dilakukan Foto: Facebook Derma Organ

SIRI 3: Perspektif agama tidak nafi pendermaan organ

ByFarah Diyana Samsuddin

Derma organ tidak nafi hak menurut agama Islam

Pemindahan atau pendermaan organ merupakan ikhtiar untuk merawat para pesakit yang disahkan menghidap masalah kegagalan organ peringkat akhir.

Rawatan berkenaan merupakan usaha merawat pesakit kronik bertepatan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi.

Tokoh cendekiawan Islam dunia, Profesor Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan bahawa usaha pemindahan atau pendermaan organ daripada seseorang jenazah tidak menafikan kehormatan jenazah berkenaan.

Tokoh cendekiawan Islam dunia, Profesor Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi

“JIka kita percaya bahawa tubuh badan ini milik Allah SWT, maka kita tidak seharusnya kedekut untutk mendermakan organ kita kepada orang lain,” tegasnya menerusi satu kenyataan.

Dr Yusuf berpandangan ia kerana nyawa yang hendak diselamatkan itu juga milik Allah SWT.

Tambahnya proses pemindahan atau pembedahan diyakininya dijalankan secara secepat mungkin bagi membolehkan urusan pengebumian jenazah tidak tergendala.

Mohammad Syarifuddin Abdul Kadir

Turut senada, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Sarawak, Mohammad Syarifuddin Abdul Kadir mengesahkan bahawa rawatan pemindahan dan pendermaan organ adalah seperti yang dinyatakan menerusi fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 1970.

“Hukum pemindahan dan pendermaan organ adalah harus.

“Ini kerana pemindagan dan pendermaan organ memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang meruakan salah satu daripada maqasid syari’iyyah (objektif syariah),” katanya ketika ditemui penulis baru-baru ini.

Mohammad Syarifuddin memberitahu selain fatwa kebangsaan, lima buah negeri iaitu perlis pada tahun 1965, Sarawak (1996), Selangor (2000), Johor (2001) dan Pulau Pinang (2010) turut mengeluarkan fatwa mengenai hukum pendermaan organ yang harus dalam keadaan darurat.

Beliau menambah pemindahan atau pendermaan organ merupakan amalan murni serta bermanfaat berikutan ia dilakukan demi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ atau tisu yang berkaitan.

“Memelihara atau menyelamatkan nyawa adalah niat baik dan hanya dilakukan hanya apabila tiada alternatif lain selain proses pemindahan atau pembedahan juga dilakukan dengan penuh cermat, teliti dan penuh penghormatan terhadap tubuh penderma yang telah meninggal dunia,” jelasnya.

Mohammad Syarifuddin dalam pada itu mendedahkan setakat ini belum ada sebarang inisiatif atau kerjsama antara pihak Jabatan Mufti Sarawak dan institusi perubatan dalam usaha meuar-uarkan kepentingan dan manfaat pendermaan organ dalam kalangan masyarakat di Sarawak khususnya masyarakat Islam.

Walaubagaimanapun, Jabatan Mufti Sarawak katanya sentiasa mempergiatkan program kesedaran fatwa dan kefahaman berkaitan hukum termasuk isu pendermaan organ.

“Program itu merangkumi aktiviti bersama masyarakat seperti Program At-Tibyan, At-Tafaqquh dan melalui seminar-seminar fatwa di peringkat bahagian dan negeri di seluruh Sarawak,” jelasnya.

 

Derma organ inti pati khutbah Jumaat 

Mohammad Syarifuddin memberitahu Jabatan Mufti Sarawak pada masa sama menerima cadangan daripada golongan pakar perubatan berhubung menguar-uarkan manfaat pendermaan organ melalui khutbah Jumaat dan ceramah-ceramah agama di wilayah ini seperti yang dilakukan di beberapa negeri lain sebelum ini.

“Ini adalah suatu inisiatif yang sangat baik sebagai usaha kita memberi kesedaran dan meyakinkan masyarakat bahawa pendermaan organ adalah antara amal soleh dan mulia,” ujarnya.

Selain itu, beliau tuurut mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan kempen kesedaran di masjid atau surau dengan mengenengahkan pakar perubatan dan ahli agama dalam sesebuah acara.

“Usaha ini akan memberi ruang kepada para jemaah mengutarakan persoalan serta mendapat pemahaman mengenai pendermaan organ secara lebih terperinci,” tegasnya.

Pada masa sama, seiring dengan peredaran masa, Mohammad Syarifuddin berharap pihak bertanggungjawab memanfaatkan platform digital dan media sosial untuk mendekati golongan muda.

“Gunakan media sosial dengan memaparkan kisah kejayaan penderma dan penerima organ secara interaktif teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menekankan hukum dan manfaat daripada sudut agama serta jaminan kesihatan,” ujarnya.

 

Derma organ ‘anugerah cinta’ Kristian 

Pendermaan atau pemindahan organ disifatkan sebagai ‘anugerah cinta’ menurut agama Kristian susulan keputusan pengikrar derma organ adalah sikap tidak mementingkan diri sendiri.

Ambrose Linang

Setiausaha Agung Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Elder Ambrose Linang meyakinkan bahawa majoriti kumpulan Kristian (Faith) bersetuju bawa pendermaan organ sebagai tanda kasih sayang.

“Setiap manusia diciptakan untuk memuliakan Tuhan dan juga berkongsi cinta daripada Tuhan.

“Menderma organ akan memberi impak ketara kepada pesakit kronik yang menerima pendermaan organ kerana mereka ini (penderma) amat memerlukan organ atau tisu yang telah rosak.

“Kesemua gereja-gereja di Sarawak juga menyifatkan pendermaan organ adalah tindakan bermoral dan beretika serta menjangkau keselamatan nyawa sendiri,” jelasnya.

Ambrose dalam pada itu menekankan Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) bergiat aktif dengan pihak berwajib dalam usaha menyebarluaskan kefahaman berkaitan manfaat pendermaan organ dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang beragama Kristian.

“Pihak Hospital Umum Sarawak (SGH) pernah membuka kaunter di Katedral St Joseph bagi mendekati masyarakat Kristian baru-baru ini.

“Sebelum itu pada Ogos 2022, ACS pernah dijemput oleh pihak SGH untuk turut serta dalam forum yang turut mengenengahkan ahli dan pakar agama-agama lain.

“Sesi forum ini amat menarik kerana kesemua ahli dan pakar agama tampil memberi penerangan dan pemahaman berkaitan pendermaan organ menurut perspektif agama masing-masing,” ujarnya.

Sesi forum sedemikian menurut Ambrose harus diteruskan dari semasa ke semasa sebagai inisiatif untuk memupuk kesedaran orang ramai agar pendermaan organ tidak lagi menjadi suatu perkara yang janggal dalam kalangan masyarakat wilayah ini.

Pembukaan kaunter berkaitan pendermaan organ masih relevan. Foto: Facebook Derma Organ

Sehubungan itu, Ambrose mendedahkan ACS komited untuk bekerjasama dengan pihak berwajib untuk membuka kaunter bergerak pendermaan organ di gereja-gereja khususnya di daerah luar bandar atau pedalaman di seluruh Sarawak.

Selain itu, Ambrose mencadangkan agar memanfaatkan foto menarik berkaitan pendermaan organ dipaparkan pada kenderaan atau pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas.

“Paparan ini akan mengangkap pandangan kita semua kerana ia akan sering kelihatan di mana sahaja kita berada di seluruh Sarawak,” jelasnya sekali gus ia akan menjentik sifat ingin tahu orang ramai.

Sifat ingin tahu itu kata Ambrose akan beralih kepada hasrat ingin melakukan yang membuahkan niat seseorang individu tergerak untuk mendaftar sebagai penderma organ suatu hari kelak.

 

NGO turun padang pupuk minat derma organ

Menyaksikan wujudnya isu kepercayaan dan amalan budaya yang membelenggu penerimaan segelintir masyarakat di Sarawak terhadap pendermaan organ meskipun perspektif agama tidak pernah menafikan hasrat murni itu, kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) peduli terhadap situasi ini.

Manjeet Sidhu

Pengerusi Lions Club of Kuching Unity dan Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS), Manjeet Sidhu berkata pihaknya tidak pernah memandang enteng terhadap pendermaan organ di wilayah ini.

“Hampir setiap bulan kami mengadakan ‘Kem Kesihatan’ secara bergerak dengan membawakan pakar perubatan untuk mendekati masyarakat.

“Selain saringan kesihatan, kem ini disertakan dengan taklimat ringkas atau sesi perkongsian berkaitan pendermaan organ.

“Dalam kem ini juga kami melihat ramai pengikrar baharu tampil mendaftar diri menerusi MySejahtera,” katanya kepada penulis baru-baru ini.

JIka isu kepercayaan dan amalan budaya turun-temurun yang mengekang, menurut Manjeet pihaknya akan mengadakan sesi perkongsian di rumah-rumah ibadat untuk mendekati orang ramai.

Menurut Manjeet, selaku NGO yang giat mendekati masyarakat, pihaknya menyokong pendermaan organ di negara ini.

“Ia (pendermaan organ) adalah amalan mulia. Kita harus pupuk anak muda kita untuk mendaftar sebagai pengkirar penderma organ kerana mungkin organ atau tisu kita akan memberi peluang kedua untuk orang lain juga selepas ini,” ujarnya.

Dengan usaha tanpa noktah itu, Manjeet optimis peningkatan penderma organ ke arah positif akan berlaku di wilayah ini.

“Salah satu pendekatan kita adalah mengadakan pertemuan empat mata dengan masyarakat terutama golongan belia untuk memberi pemahaman secara mendalam kepada mereka berkenaan kepentingan pendermaan organ dalam kalangan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Kegiatan itu kata Manjeet diterima baik oleh masyarakat selain mereka mengakui mereka percaya akan tindakan pendermaan organ adalah amalan mulia.

“Saya akan bawa pakar perubatan seperti Dr Uma (rujuk siri dua) untuk bercakap mengenai definisi, prosedur dan hidupan selepas menderma organ. 

“Contohnya saya mengumpul golongan belia beragama Sikh di Kuil Gurdwara Sahib Sikh, Kuching dan seterusnya mengajak mereka mendengar taklimat ringkas daripada Dr Uma,” ujarnya.

Pengerusi Lions Club of Kuching Unity dan Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) Manjeet Sidhu (berdiri dua dari kiri) bersama ahli lain merakam kenagan bersama Ketua Koordinator Pendermaan Organ Negeri Sarawak merangkap doktor bertanggungjawab ke atas Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) di Hospital Umum Sarawak (SGH), Dr Uma Devi Ramadass (duduk dua dari kiri) di Kuil Gurdwara Sahib Sikh hari ini.

Rata-rata selepas mereka mendengar perkongsian pendermaan organ, kata Manjeet kesemua mereka akan mendaftar sebagai penderma organ.

Seterusnya penulis akan mengisahkan semangat ‘hero’ para belia Sarawak terhadap pendermaan organ. Iktui siri akhir yang juga akan memaparkan kejayaan pendermaan organ di wilayah ini hingga mencuri perhatian penderma organ dari luar negara.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan