MOSCOW, 30 Sept: Tiga pekerja syarikat tenaga Sepanyol maut apabila helikopter mereka melanggar talian kuasa voltan tinggi berhampiran bandar Pucol di komuniti autonomi Valencia, lapor Sputnik memetik akhbar Sepanyol Levante-EMV pada Ahad.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika pekerja syarikat utiliti elektrik multinasional Sepanyol, Iberdrola, sedang memeriksa talian kuasa voltan tinggi yang terletak di kawasan pergunungan komuniti Monte Picayo di Valencia.
Helikopter itu dilaporkan melanggar talian kuasa dengan satu daripada peluncurnya, menyebabkan pesawat itu hilang kawalan sebelum terhempas ke dalam kebun, menurut akhbar berkenaan.
Menurut hipotesis awal, cahaya matahari pagi menghalang juruterbang daripada menyedari kewujudan talian kuasa itu, menurut laporan berkenaan.
Unit polis, pasukan perubatan dan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian, menurut Levante-EMV. – TVS