Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis kesan ahli keluarga tiga mangsa rentung kemalangan

GEORGE TOWN, 16 Ogos — Polis sedang mengesan ahli keluarga atau kenalan kepada tiga individu yang rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok sebelum hangus terbakar, dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti dan jantina tiga mangsa itu kerana kereta Toyota Vios yang dinaiki serta mayat mereka rentung sehingga 90 peratus.

“Polis menerima panggilan pada 3.05 pagi memaklumkan sebuah kereta terbabas dan melanggar pokok sebelum terbakar di simpang tiga Jalan Masjid Negeri/Jalan Tembaga dan sebaik anggota polis tiba, pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran.

“Pihak bomba berjaya mengawal dan memadamkan api pada 3.20 pagi dan hasil pemeriksaan awal pada kenderaan berkenaan terdapat tiga mayat dalam keadaan rentung masih berada di tempat duduk kereta iaitu, seorang di bahagian pemandu, seorang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan seorang lagi di bahagian tempat duduk belakang kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta pada 5.40 pagi dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Soffian berkata buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa terbabit dalam kejadian tersebut.

Katanya kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian dan sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau kenalan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Nizam Abdullah di talian 010-9771517 atau menghubungi Balai Polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan