LIMBANG, 29 Sept: Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini mempunyai peranan dan sumbangan besar terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan negara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan NGO dalam usaha membina dan membangunkan negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, NGO menggalas tanggungjawab sangat besar khususnya membantu menjayakan hasrat kerajaan dalam memajukan negeri dan negara khususnya di Sarawak.
“Kerajaan mengiktiraf peranan NGO yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
“Kita harap NGO yang ada dapat memperbanyakkan lagi program ekonomi, usahawan, kemasyarakatan dan sosial,” katanya pada Perasmian Hari Pesara Kerajaan Bahagian Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Bahagian Limbang, Pedi Amit.
Jelasnya lagi, walaupun NGO-NGO memiliki pendekatan dan fokus berbeza, namun mempunyai matlamat utama iaitu menyumbang tenaga, idea dan pemikiran dalam memajukan negara selain membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.
Dr Abdul Rahman juga mahu NGO di Sarawak untuk terus proaktif dalam mengadakan pelbagai program termasuk ekonomi, sukan, sosial dan kebajikan.- TVS.