Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 16 Ogos -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Gembleng tenaga tangani COVID-19, ini bukan masa untuk berpolitik

KUCHING, 16 Ogos — Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata keadaan sekarang bukanlah masa sesuai berpolitik sakan tetapi masa untuk menggembleng tenaga menangani ancaman COVID-19.

Beliau berkata ketika negeri dan negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemik, tiada yang lebih penting daripada negara dan negeri ditadbir oleh kerajaan stabil dan bersyukur Sarawak mempunyai kerajaan kuat di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Namun, di peringkat persekutuan keadaan agak membimbangkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri perlu mentadbir dalam suasana  harmonis berlandaskan perlembagaan, yang mana hubungan baik itu telah membolehkan kerajaan persekutuan sekarang untuk menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya (kementerian) ini adalah platform amat baik untuk melibatkan kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam usaha mencari penyelesaian. 

“Apa yang penting, harus ada persefahaman antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam konteks penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung, Sarawak dan Sabah,” katanya.

Abang Johari berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan ini membolehkan perundingan bagi Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan kembali hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 berjalan dengan baik.

“Alhamdullilah, setakat ini Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan hak-haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya,” katanya. 

Hasil rundingan ini, Sarawak setakat ini mendapat pulangan lebih baik hasil dari cukai jualan ke atas produk minyak dan gas dari negeri ini, hak ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Petronas dan hak memberikan konsesi penerokaan bagi medan-medan minyak di kawasan daratannya. 

Menyentuh sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini yang diraikan dalam keadaan negara masih dibelenggu COVID-19, beliau meminta rakyat untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka dengan bersama-sama memerangi pandemik ini.  

Beliau berkata ia bukanlah masanya bertanya “apa yang saya dapat” tetapi berbekalkan semangat kebangsaan di bawah naungan Jalur Gemilang, setiap rakyat harus memberi khidmat dengan ikhlas dan berkorban untuk menangani pandemik yang sedang melanda negara dan negeri. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan