KUALA LUMPUR ; 16 Ogos : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara kira – kira pukul 12.23 tengah hari tadi.
Ketibaan Perdana Menteri yang diringi polis pengiring dinanti- nantikan oleh ratusan petugas media yang berkumpul di pintu utama Istana Negara sejak pukul 7 pagi tadi.
Melewati barisan panjang petugas media , Muhyiddin dilihat melambai tangan dari dalam kenderaan yang membawanya sebelum memasuki perkarangan Istana Negara.
Kawalan keselamatan juga turut dipertingkatkan dengan puluhan anggota keselamatan berkawal di kawasan sekitar manakala polis trafik dilihat turut berkawal di sepanjang laluan utama menuju ke Istana Negara.
Muhyiddin pada sebelah pagi tadi mempengerusikan Mesyurat Khas Kabinet di Putrajaya serta turut mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara ; Tan Sri Idris Harun, Ketua Polis Negara; Datuk Seri Acryl Sani Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong hari ini bagi menyerahkan surat meletak jawatan susulan hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Satu perutusan khas oleh Perdana Menteri dijangka akan dilakukan pada petang ini berhubung situasi semasa. – TVS